Hari Hutan Antarabangsa,

Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2022

Sabtu, April 09, 2022 Mahamahu 0 Comments

Salam sejahtera kepada semua pembaca setia blog Mahamahu dan juga rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Korang tahu tak bahawa seluruh dunia ada satu hari yang di iktiraf sebagai Hari Hutan Antarabangsa. Mesti ramai yang tak cakna pada perkara ini kerana bagi kita hutan negara kita cukup banyak. Pada tanggal 21 Mac setiap tahun diangkat sebagai Hari Hutan Antrabangsa. Begitu juga negara kita menyambutnya setiap tahun cuma tahun ini ia diadakan sambutan peringkat kebangsaan pada 26 Mac 2022 bertempat di kawasan koridor ekologi Central Forest Spine (CFS) yang bersebelahan dengan Hutan Simpan Tanum, Pahang



Maha juga turut hadir pada sambutan tersebut atas jemputan bersama media dan KOL yang dibawa oleh ICCFSMY antara badana yang membuat kerjasama dengan Jabatan Hutan Semenanjung Malaysia. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menjunjung kasih atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang berangkat ke Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2022 Peringkat Kebangsaan dan merasmikan sambutan tersebut. 




Majlis besar-besaran ini juga telah dihadiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Pegawai-pegawai Kanan KeTSA dan jemputan daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang,  Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia & Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, ICCFSMY (Improving Connectivity In The Central Forest Spin), MYCAT (Malaysia Conservation Alliance for Tigers), Jabatan Perhilitan Malaysia, wakil-wakil komuniti dan badan bukan kerajaan serta pihak swasta. Pada majlis ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang turut berkenan menanam pokok Tampoi sebagai tanda simbolik untuk Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.




Pemilihan kawasan CFS sebagai lokasi sambutan Hari Hutan Antarabangsa pada tahun ini amat signifikan memandangkan CFS merupakan tulang belakang rangkaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar dan koridor ekologi yang dibentuk semenjak Rancangan Fizikal Negara (RFN) Ke-2. Penubuhan kawasan CFS amat penting bagi pemeliharaan dan perlindungan habitat tumbuhan dan hidupan liar yang terdapat dalam kawasan hutan. Sehingga kini, kira-kira 30,119 hektar tanah negeri dan tanah hutan lain telah diwartakan sebagai kawasan tambahan HSK dan Kawasan Perlindungan.




KeTSA komited untuk memelihara dan memulihara kawasan berhutan serta biodiversiti dengan kerjasama rapat daripada kerajaan negeri dan pemegang taruh lain menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan projek. Selain CFS, KeTSA juga terlibat dalam inisiatif Heart of Borneo, Projek Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Hutan Terosot, Projek Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara, perhutanan sosial dan konservasi hidupan liar termasuk spesies ikonik negara iaitu Harimau Malaya.




Hari Hutan Antarabangsa disambut pada 21 Mac setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hutan serta pemeliharaan dan pemuliharaannya. Tema sambutan peringkat kebangsaan pada tahun ini ialah “Hutan untuk Kesejahteraan Masyarakat”. Bersesuaian dengan tema ini, harapan agar semua rakyat sebagai satu Keluarga Malaysia dapat menunjukkan keprihatinan serta komitmen yang jitu untuk bersama-sama menyemarakkan semangat menyayangi, melindungi dan memelihara khazanah hutan negara.




Sehingga kini, Malaysia masih mengekalkan 55.3% atau 18.27 juta hektar daripada keluasan tanah negara dengan kawasan berhutan selaras dengan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan berhutan. Selain itu, Rancangan Fizikal Negara Ke-4 telah menyasarkan sejumlah 50 peratus kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2040. Sasaran ini merupakan game changer dalam memperkukuhkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan khususnya di Semenanjung Malaysia.




Malaysia telah melaksanakan pensijilan pengurusan hutan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) berdasarkan Malaysian Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management atau MC&I (SFM) dan Forest Stewardship Council (FSC). Sehingga kini, sebanyak tujuh Forest Management Unit (FMU) di Semenanjung iaitu negeri Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan Johor yang melibatkan kawasan HSK seluas 4.05 juta hektar; enam FMU di Sabah melibatkan kawasan HSK seluas 0.20 juta hektar; dan 17 FMU di Sarawak melibatkan kawasan HSK seluas 1.18 juta hektar telah dianugerahkan Sijil Pengurusan Hutan di bawah MTCS. Manakala bagi kawasan hutan yang disijilkan di bawah FSC adalah seluas 56,757 hektar yang melibatkan 1 FMU di Terengganu dan 3 FMU di Sabah.



Agenda Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok telah dilancarkan pada 5 Januari 2021. Dengan sokongan Kerajaan-kerajaan Negeri, sehingga sambutan hari Hutan Antarabangsa ini sebanyak 27.87 juta pokok telah berjaya ditanam di seluruh negara. Kerajaan Negeri Pahang sahaja telah mencapai 3,341,731 juta pokok yang telah ditanam di seluruh Pahang. 




Kerajaan Negeri Pahang Pahang mensasarkan 5 juta pokok dapat ditanam di negeri Pahang melalui kempen '1 Pokok, 1 Rakyat'. Menteri Besar Pahang sendiri telah mengumumkan 127.89 Hutan Tanah Kerajaan telah diwartakan sebahagi Hutan Simpan Kekal (Permanent Reserved Forest). Projek di Pahang selepas ini akan dilaksanakan berdasarkan ESG Principles (Environmental, Social and Governance).


Agenda Penghijauan Malaysia yang sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan pada masa ini dengan sasaran penanaman 100 juta pokok menjelang tahun 2025 dan kita sebagai rakyat jelata juga digalakkan untuk menanam pokok dimana-mana sahaja. Juga paling untungnya setiap pokok yang ditanam oleh rakyat Malaysia boleh didaftarkan di laman sesawang https://100jutapokok.gov.my. Di situ segala data dan maklumat serta jumlah pokok dikumpul dan dikira untuk mencapai sasaran 100juta pokok menjelang 2025. Nanti Maha ceritakan dan kongsikan bagaimana laman web atau aplikasi ini beroperaasi dan korang boleh muat naik info setiap pokok yang ditanam kemudian boleh redem baucar.




Jadi kita sebagai rakyat Malaysia kena sentiasa perihatin dan juga mengambil tahu tentang hutan juga kehidupan semulajadi dinegara kita. Ini kerana ia mengekalkan ekosistem negara dan secara tak langsung menyumbang kepada kesan rumah hijau dan juga haiwan liar yang kebanyakkan bergantung kepada hutan semata-mata. Jadi rakyat yang prihatin dan ambil berat. Selamat menyambut Hari Hutan Antarabangsa. 







0 Pandangan: