Terbaru Terkini
Memaparkan catatan dengan label Herbalife Malaysia. Papar semua catatan

Lima Tabiat Yang Membezakan Usahawan Berjaya

Keusahawanan hari ini jauh berbeza berbanding sedekad yang lalu. Semakin ramai individu memulakan perniagaan berasaskan minat mereka dan mentakrifkan semula maksud kejayaan. Mereka mengusahakan perniagaan dengan penuh optimisme,  kreativiti dan keinginan untuk mencorakkan masa depan mereka dengan lebih baik.

Tetapi sikap optimistik sahaja belum cukup untuk membina perniagaan yang boleh berkembang maju.  Usahawan yang berjaya, sama ada mereka yang mengendalikan syarikat sepenuh masa ataupun mereka yang menguruskan bisnes sampingan, adalah mereka yang mengubah matlamat besar menjadi disiplin harian. Inilah amalan yang  kerap dilihat dalam kalangan pengusaha yang bukan sahaja bermula dengan bersungguh-sungguh, tetapi berjaya mengekalkan semangat kesungguhan tersebut.

1. Mulakan Hari Dengan Niat Yang Betul 


Usahawan yang berjaya memulakan hari mereka dengan matlamat yang jelas . Mereka merancang keutamaan sebelum perkara lain mengganggu tumpuan mereka.



Apabila anda memulakan hari dengan niat yang betul, setiap tindakan, tidak kira betapa kecil, membawa anda lebih hampir kepada matlamat anda. Sebagai contoh, sebelum membuka komputer peribadi anda, tuliskan tiga perkara utama yang patut anda lakukan menjelang waktu tengah hari . 

2. Sentiasa Pupuk Sifat Ingin Tahu dan Terus Belajar 


Usahawan terbaik tidak pernah berhenti menimba ilmu. Mereka sentiasa bersedia untuk mempelajari kemahiran baharu, mendapat perspektif baharu serta meneroka idea yang boleh membantu mereka melangkah maju secara peribadi dan profesional. 



Dalam persekitaran yang berubah dengan pantas hari ini, sifat ingin tahu amat penting. Sama ada anda mengikuti kelas latihan, belajar daripada mentor atau meneliti cara baharu untuk berkhidmat kepada pelanggan, pembelajaran berterusan membolehkan anda terus menyesuaikan diri dan menjadi lebih yakin.

Apabila anda menghadapi setiap cabaran dengan sifat ingin tahu, sebarang kegagalan sekalipun mampu menjadi peluang untuk berkembang. Peruntukkan masa selama 30 minit setiap minggu untuk membaca, mendengar atau mempelajari sesuatu yang dapat mengukuhkan perniagaan anda. 

3. Bina Hubungan yang Berkekalan


Hubungan yang erat menjadi asas bagi setiap perniagaan yang berjaya. Usahawan yang hebat memimpin dengan keprihatinan, kepekaan dan keikhlasan. 



Pemimpin paling berkesan yang saya kenali meluangkan masa untuk memahami pelanggan dan pasukan masing-masing. Mereka mendengar, mengambil tindakan susulan dan benar-benar berminat melabur dalam kejayaan orang lain. Secara beransur-ansur, keeratan setiap hubungan ini berkembang menjadi komuniti yang dibina berlandaskan kepercayaan, sokongan dan matlamat bersama. Usahawan yang berjaya memahami kuasa komuniti dan kekuatannya mencetus pertumbuhan, membina daya tahan dan mencapai kejayaan jangka panjang. 

Apabila anda memberi tumpuan dalam menjalinkan hubungan sebelum berurus niaga, anda membina kesetiaan berpanjangan yang menjangkaui  sekadar satu transaksi jualan. Pada minggu ini, luangkan masa beberapa minit untuk menghubungi tiga orang termasuk pelanggan, rakan niaga dan rakan sekerja untuk bertanya khabar atau membina semula hubungan. Perbualan ringkas boleh mengeratkan hubungan dan mengingatkan orang lain bahawa anda ada di sisi mereka. 

4. Kekal Konsisten Dalam Situasi Mencabar


Setiap usahawan menghadapi cabaran seperti jualan merosot, keraguan tentang keupayaan diri dan matlamat yang berubah. Apa yang membezakan individu yang berjaya ialah mereka terus berusaha. 



Bekerja secara konsisten tidak bermaksud bekerja tahap henti, sebaliknya,  ia bermakna menghormati komitmen dan mengekalkan fokus walaupun dalam keadaan sukar. Lambat-laun, usaha berterusan membina kepercayaan, kredibiliti dan kejayaan. 

Apabila keadaan bertambah sukar, jangan lupa bahawa kemajuan sering berlaku secara senyap, selepas menabur masa dan tenaga secara konsisten hari demi hari. Jejak aktiviti mingguan anda, termasuk pertemuan, mesyuarat atau pencapaian dan beri tumpuan pada usaha bukannya keputusan. 

5. Raikan Kemenangan yang Dicapai


Usahawan lazimnya memberi tumpuan pada matlamat, tetapi kejayaan bukan sahaja bermaksud sampai ke garisan penamat, Kejayaan juga bermaksud anda menyedari bahawa pertumbuhan telah dicapai dalam perjalanan anda menuju ke puncak jaya. 

Meluangkan sedikit masa untuk meraikan kemenangan kecil seperti minggu yang produktif atau kejayaan peribadi membantu meningkatkan motivasi dan rasa bersyukur. 

Apabila anda meraikan kemajuan, anda mengingatkan diri sendiri dan pasukan anda bahawa setiap langkah yang diambil penting. Pada akhir setiap minggu, catatkan satu kemenangan dan satu pembelajaran untuk menekankan kemajuan dan perspektif. 

Era Keusahawanan Baharu


Usahawan hari ini lebih terpelbagai, celik teknologi dan berpandukan matlamat berbanding sebelumnya. Ciri-ciri ini ditekankan dalam tinjau selidik terbaharu Herbalife, apabila lebih ramai usahawan berbanding bukan usahawan berkata mereka terdorong untuk membuat keputusan yang mengukuhkan kestabilan kewangan dan kesejahteraan ekonomi masing-masing. 



Tidak kira di mana anda berada dalam perjalanan anda, kejayaan bermula dengan usaha dan pembelajaran berterusan dan memimpin berlandaskan matlamat khusus.