Kerohanian

Menggantikan Puasa | Soal Jawab Ustaz

Jumaat, Julai 15, 2011 Mahamahu 3 Comments

SOALAN 

Saya tertinggal puasa Ramadan sejak beberapa tahun yang lalu kerana mengalami sakit jiwa. Bagaimanakah cara saya menggantika puasa saya yang tertinggal. Adakah mesti saya puasa serentak dengan membayar fidyah atau boleh juga dibuat secara berasingan. Bolehkah saya bayar fidyah berupa wang. Berapa dan kepada siapa harus saya bayar. Harap ustaz berikan penjelasana selanjutnya.

JAWAPAN

Seperti yang sedia maklum, sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadan, sama ada sebahagian atau sepenuhnya, kerana uzur atau sengaja, hendaklah dia menggantikan semua puasa yang ditinggalnya. Keuzuran yang diterima sebagai alasan, ialah musafir, sakit, ibu-ibu yang sedang hamil atau menyusukan bayi, warga tua yang lanjut usia, lapar dan dahaga yang membimbangkan keselamatan nyawa atau kerana dipaksa supaya berbuka. Sakit yang diharuskan berbuka ialah sakit teruk yang dibimbangi membinasakan diri atau nyawa jika dia memaksakan dirinya berpuasa. 

Bagi mengesahkan sama ada seseorang pesakit itu harus berbuka atau tidak, sebaik-baiknya hendaklah mendapatkan nasihat daripada doktor pakar yang muslim terlebih dahulu. Saya kurang pasti sakit jiwa yang saudara pernah alami itu, membolehkan saudara berbuka atau sebaliknya. Ini kerana istilah sakit jiwa itu terlalu umum dan sukar ditentukan sendiri. Bagaimanapun, jika doktor menasihati pesakitnya supaya berbuka, maka haruslah baginya berbuka.

Dalam beberapa keadaan, pesakit tidak mengetahui bahawa dia seorang pesakit, dia mengetahui hanya setelah membuat pemeriksaan doktor, pada lahirnya dia masih hidup selesa barsama-sama orang ramai. Ada juga pesakit yang memang dilarang makan dan minum, seperti cirit birit dan penyakit-penyakit yang berpunca daripada berat badan. Oleh itu, nasihat doktor sangat mustahak bagi menentukan hukum, sama ada seseorang itu sakit atau tidak dan sama ada harus atau tidak harus berbuka.

Jika saudara seorang
yang berpenyakit serius dan berasa sangat berat untuk berpuasa, hukum sememangnya mengharuskan saudara berbuka kerana kepentingan nayawa mendahului kewajipan beribadat, tetapi hendaklah digantikan puasa yang ditinggal itu pada hari-hari yang lain setelah saudara betul-betul sihat.

Orang sakit dalam konteks puasa Ramadan, ada dua keadaan yang membabitkan hukum-hukum yang berbeza:

1) Pesakit yang ada harapan sihat. Hukum pesakit ini hendaklah menggantikan puasanya yang tertinggal sebaik sahaja dia sihat. Harus bagi pesakit ini menggantikan puasa yang ditinggalnya itu secara berturut-turut hari atau berpisah-pisah. Jika sakitnya berterusan, tidak wajib di atasnya membayar fidyah, walaupun berlalu beberapa tahun Ramadan berikutnya. Bagaiamanapun, jika ia sengaja melewatkan qada puasa yang ditinggal, sehingga tiba Ramadan berikutnya, maka wajiblah di atasnya qada puasa yang tertinggal serta membayar fidyah, kerana dia telah melakukan kesalahan, iaitu kelewatan menggantikannya. Jika berulang tahun, maka menurut mazhab Syafi`i berulang pula fidyah yang wajib dibayar. Ditakdirkan pesakit meninggal dunia sebelum penyakitnya sembuh, tidak ada apa-apa yang wajib dilakukan oleh waris-waris bagi pihaknya, sama ada puasa mahupun fidyah.
  
2) Pesakit yang tiada harapan untuk sihat. Pesakit ini dikatigorikan sebagai sama dengan warga tua yang sudah lanjut usia dan tidak lagi menaruh harapan untuk sembuh atau sihat. Mereka tidak wajib menggantikan puasa yang ditinggalnya, sebaliknya hendaklah membayar fidyah sahaja, iaitu mengeluarkan satu cupak makanan kepada seorang miskin, bagi setiap hari puasa Ramadan yang ditinggal.

Kadar satu fidyah yang wajib dikeluarkan, menurut mazhab Syafi`i ialah satu cupak, atau satu perempat gantang, tetapi menurut Imam Abu Hanifah kadarnya ialah setengah gantang makanan utama yang dikeluarkan kepada fakir miskin dalam kampung atau masyarakatnya. Saya berpendapat, lebih afdal bagi pihak-pihak yang terlibat, mengeluarkan makanan utama untuk sekali makan, seperti nasi atau ruti yang dilengkapkan dengan sayur dan lauk. Makanan itu hendaklah diberi kepada orang miskin. Menurut Imam Abu Hanifah, boleh juga dibayar dengan harga yang menyamai kadar fidyah itu. Paling mudah untuk dinilaikan satu fidyah, ialah sebungkus nasi atau makanan utama yang lengkap dengan sayur dan lauknya secara sederhana, termasuk juga harga segelas air minuman.

Jika pesakit yang wajib membayar fidyah itu tidak berupaya membayar sebagaimana yang diwajibkan, tidak diwajibkan ke atasnya membayar fidyah. Jika pesakit yang tiada harapan untuk sihat itu memilih untuk berbuka, tetapi jika kemudiannya kembali sihat, maka hukumnya wajib ia menggatikan puasa sebanyak hari yang tertinggal, dia tidak diharuskan membayar fidyah sahaja tanpa puasa.

Merujuk kepada soalan di atas, saudara dikehendaki menggantikan puasa yang ditinggal dahulu, sebelum tiba Ramadan berikutnya. Jika puasa yang ditinggal itu beberapa tahun, maka menurut mazhab Syafi`i hendaklah digandakan fidyah mengikut tahun. Jika empat tahun berlalu, maka hendaklah dibayar empat fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan. Ada mazhab berpendapat, fidyah hanya satu sahaja, dia tidak berganda sekalipun berlalu beberapa tahun. Mazhab ini dipakai oleh pengikut-pengikut mazhab Imam Abu Hanifah. Saya berpendapat, mazhab Syafi`i lebih sesuai diamalkan, supaya orang-orang yang mengambil mudah dengan kewajipan puasa ini, terdidik dengan tindakan yang mewajibkannya membayar fidyah yang berganda itu.

Mustahak juga dinyatakan di sini, orang-orang yang terlalu penat berkerja, kerana mendapatkan sara hidup keluarga. Jika perlu, boleh juga ia berbuka, kemudian menggantikannya. Hukumnya samalah dengan hukum orang-orang sakit, seperti yang dinyatakan di atas. Maklumat lanjut terus kepada Dr Abdul Hayei.

3 ulasan:

  1. bagus awak...mengingatkan kembali bagi refresh otak yg tepu ni...
    TQ Mah :)

    BalasPadam
  2. huaaaaa...sangat2 berguna entry ni

    BalasPadam